SINAR HIDAYAH
Karya: Aisha Ardini
Diari berwarna merah itu dibeleknya perlahan. Diari itu banyak memuatkan kisah kehidupannya bermula saat remajanya lagi sehinggalah sekarang. Kisah sedih, cinta dan bahagia semuanya tercatat kemas. Diari itulah yang menjadi peneman setianya saat hatinya gusar, gelisah mahupun gembira.
Jari jemari halusnya membelek helaian pertama. Matanya menangkap tarikh 4 April 2005, dimana tarikh itulah memulakan sejarah hidupnya bertemankan diari. Belum pernah dia menulis coretan hatinya pada helaian kertas, namun pemberian diari oleh ibunya, Datin Fazlina sebagai hadiah hari lahirnya yang ke 17 itu banyak mengubah hidupnya. Disebabkan diari itulah, dia mula menghargai kehidupan, belajar dari kesilapannya agar tidak berulang-ulang.
Hatinya sedikit berdebar. Malam itu mahu dia hayati semula kisah hidupnya, agar dia tidak hanyut dalam kebahagiaan kini. Retina matanya segera menerjah tulisan-tulisan yang tertulis rapi.
4 April 2005, Isnin
P/s: Hai Diari! Cantik kamu ya!
Hari ini genap umurku 17 tahun. Terasa diri ini semakin dewasa. Tidak sabar rasanya mencecah 18 tahun. Hurm. Cepatlah tahun hadapan!
Mama hadiahkan aku diari ini. Cantikkan? Merah. Mama tahu aku suka warna merah jambu tapi aku hairan juga, mengapa Mama belikan diari berwarna merah? Well, bila tanya Mama, Mama cakap sebab aku dah besar, dah tak sesuai dengan warna merah jambu. Betul ke?
Esok Mama dan Papa akan ke Langkawi, katanya ada urusan kerja. Selalu sibuk. Bukan ke minggu lepas baru balik dari Terengganu? Nampaknya terpaksa aku habiskan masa dengan Mak Mah ajelah. Bosannya!
Disebabkan hari ini hari lahirku, Mama benarkan aku berparti dengan rakan-rakan di Hot Karaoke Club semalam. Best sangat-sangat! Shaza, Erin, Diana, Eli, Mimi, Nana, semua join. Seperti biasalah, mereka dating ditemani kekasih masing-masing. Well, Danny datang juga. Dia hadiahkan aku sejambak bunga ros merah dan Ipod berwarna merah jambu, menggantikan Ipod aku yang hilang sewaktu keluar dengannya di pusat beli belah minggu lepas. Romantik sangat! Bunga ros itu telah aku letakkan di dalam pasu. Hurm, wanginya!
Danny belum pernah menyatakan perasaannya padaku. Aku hairan juga. Kenapa harus dia ambil masa sebegitu lama untuk menyatakan perasaanya? Letih aku menunggu. Aku harap dia tidak mempermainkan aku.
Sejujurnya, aku cintakan dia. Well, Mama pun sukakan dia. Keluarganya juga kaya. Dia turut menjadi kegilaan gadis-gadis sekuliahnya. Malah, Eli dan Diana turut meminatinya. Semalam, ekspresi mukanya semasa mengucapkan ‘Happy Birthday’ kepadaku boleh mencairkan seluruh jiwa ragaku. Oh!
Tapi umurnya sudah mencecah 22 tahun sedangkan aku baru berusia 17 tahun. 5 tahun jaraknya usia kami. Bolehkah begitu?
Oh! Satu lagi perkara. Dia ada memuji aku semalam. Aku masih ingat kata-katanya. “You look so sweet and beautiful tonight. I’m amazed,” Oh! Cair hatiku! Aku menginginkannya!
Habis cerita pasal cinta. Urut dada sebentar. Pasal cinta, kita sambung lain kali ya? Aku tak mahu menaruh harapan, bimbang jika hatiku retak satu hari nanti.
Semalam Nana dan Arif ke hotel. Wah, sudah berani ya Nana? Mengikut jejak langkah Shaza dan Erin mungkin. Hari ini keduanya tidak hadir ke sekolah. Sedang berbahagia mungkin? Haha. Aku belum bersedia lagi. Shaza, Erin, semua mendesak aku, menanyakan aku akan perkara tersebut. Namun, setiap soalan mereka aku elak dengan memberi jawapan ringkas: “If I did it, I’ll tell you ok?,” Mereka hanya gelak mendengar jawapan aku. Oh!
9 April 2005, Sabtu
P/s: Hai Diari! Saya tengah berbahagia!
Hatiku malam ini berbunga-bunga. Cuba teka kenapa?
Danny melamar aku menjadi kekasihnya. Oh! Gembiranya aku!
Petang tadi dia menelefon aku, mengajak aku makan malam bersamanya di Beach Restaurant. Pening aku memilih baju yang sesuai. Akhirnya aku pilih blaus oren paras lutut tanpa lengan. Aku belum pernah memakai baju tersebut. Bila difikirkan, masih banyak baju aku didalam almari yang belum pernah dipakai. Hurm.
Back to the story, dijemputnya aku di rumah dengan kereta Jaguar miliknya. Setibanya aku sana, banyak juga makanan yang aku pesan. Perut lapar :P Runsing jika berat badanku bertambah. Hancurlah harapanku untuk menjadi secantik Lindsay Lohan.
Dalam perjalanan pulang, dia mengajak aku singgah sebentar di rumahnya. Aku turuti tanpa sebarang soal. Ini kali kedua aku menjejakkan kaki di rumahnya. Kali pertama pada hari raya lepas. Bapa dan ibunya, Dato’ Rosli dan Datin Engku Sabrina ke Paris, ada urusan bisnes katanya. Jadi, hanya dia dan aku di rumah tersebut. Orang gajinya ada namun mungkin sudah melelapkan mata.
Dibawa aku ke kamarnya. Kemas sekali biliknya. Dindingnya dicat coklat muda dan katilnya pula bewarna coklat tua. Poster kereta menghiasi dindingnya. Ketika aku asyik memerhatikan biliknya, tiba-tiba dia mendekatiku, lantas menggengam erat tanganku, mengucapkan kata-kata ini:
“ You lock my heart. I’m drowning in the thought of yours. Will you be mine?,”
Oh! Aku cair. Aku sekadar mengganguk dan tertunduk malu apabila dia memanah tepat anak mataku. Malam ini merupakan malam terindah buatku. Aku serahkan segala-galanya.
25 September 2005, Ahad
p/s: Hai diari! Saya sungguh bersemangat hari ini!
SPM semakin dekat. Aku masih belum bersedia sebenarnya. Tadi Mama ada berpesan, jangan abaikan SPM. Ya Mama, takkan Ainsya abaikan. Janji! :P
Aku merancang untuk mengambil jurusan ‘Business Management’ di IPTS tempatan. Maklumlah sudah menjadi tanggungjawab aku sebagai anak tunggal untuk mewarisi aset perniagaan hartanah papa. Sudah tidak sabar rasanya menjejakkan kaki ke alam dewasa. Tapi, pasti aku rindu zaman persekolahan kelak. Oh!
Percutianku bersama Danny di Pulau Pangkor minggu lepas banyak meninggalkan memori indah. Hubunganku dengan Danny makin hari makin utuh. Selalu dia palitkan kebahagiaan di hatiku (Oh! Sejak bila aku jadi minah jiwang?)
Well, dia berbicara tentang masa depan. Dia ingin jadikan aku isterinya. Kata orang, jangan percayakan kata lelaki. Ada peribahasa tu: Tebu manis di tanam di bibir? Entahlah. Aku pun lupa peribahasa tu. Biarlah. Tapi aku rasa aku boleh percayakan Danny. Oh!
Cantik sekali Pulau Pangkor. Bahagia rasanya bercuti dengan Danny. Hurm, aku terfikir juga. Tahukah Danny betapa dalamnya cintaku padanya? Tapi sebenarnya, aku pun tertanya juga. Sedalam manakah cintaku padanya? Sekadar sedalam lopak atau sedalam anak sungai atau perigi atau lautan biru atau menembusi bumi? Hurm. Sebenarnya aku sendiri kurang pasti. Haha :P
Gembira sekali rasanya bila berada dalam pelukannya. Rasa selamat. Rasa disayangi. Ingin aku jerit pada dunia “Ainsya cintakan Danny!,” Biar satu dunia tahu Danny milikku. Oh! Inikah cinta? Well, mungkin juga. Sekiranya ini bukan cinta, apa lagi? Gedik? Haha :P
Danny belikan aku cincin. Cantik sekali cincin itu. Terasa seperti dia selalu berada denganku setiap kali aku memakainya.
Aku mewarnakan rambut aku sedikit perang hari ini. Sesuai juga warnanya dengan kulitku. Perfect! Kata Shaza “Babe! The colour of your hair is so fabulous! It does suit you so much. How I wish I could suit that colour too!,” Tak mengapa Shaza. Rambut hitam mengurai milikmu itu cukup membuatkan dirimu kelihatan seksi. Oh!
Letih rasanya menulis. Mata pun dah mula dah tertutup ni. Mengantuk sangat dah ni. Ok lah. Bye diary. Good Night! Muah. XOXO
21 November 2005, Isnin
p/s: Hai Diari. Cuba teka mood saya hari ni? Fuh. Satu perkataan je. LEGA :P
Hari ini tamatlah perjuangan aku sebagai seorang pelajar sekolah. Lega rasanya. Seperti baru sahaja bahu aku dilepaskan bebanan berjuta-juta tan. Terasa ringan je bahu ni. Soalan tidaklah susah sangat, Dapatlah jawab. Well, aku ingin ucapkan selamat tinggal kepada buku-buku SPM. Bye! Semoga diriku tidak ketemu dirimu lagi. Pergi jauh-jauh ya!
Aku merancang menggunakan masa cuti ni untuk bercuti dengan papa dan mama, bersiar-siar dengan Danny, melibatkan diri dalam kelas tarian, berparti sepuas-puasnya, memasak (Haha, Kata Danny, itu perlu sekiranya aku ingin menjadi isterinya :P). Mungkin banyak lagi. Entahlah. Perancangan aku malam ini, aku ingin ke rumah Shaza bersama Erin. Mungkin juga akan ke pusat beli belah, ingin membeli ‘wedges’ baru.
Aku merancang untuk memiliki lessen kereta juga. Papa ada berjanji dengan aku untuk membelikan kereta untukku apabila aku memiliki lesen kelak. Oh!
Eh, Mama panggil la. Gotta go diary. Bye. Muah!
20 Januari 2006, Jumaat
p/s: Hai Diari. Saya sedikit keliru hari ini.
Hurm. Semalam aku bermimpi pelik. Aku bermimpi aku berada didalam satu rumah. Hurm bukan rumah. Masjid lebih tepat. Dindingnya berwarna putih. Lantainya berkarpet biru kosong. Hanya aku yang berada di sana. Aku rasa seolah-olah sesat dan tiada tempat tujuan. Mataku melilau-lilau. Mataku melihat satu rak yang terletak di tepi dinding, dipenuhi dengan Al-Quran rasanya. Aku menghampiri rak tersebut dan membelek-belek Al Quran tersebut yang dipenuhi dengan tulisan bahasa Arab yang aku langsung tidak tahu membacanya, apatah lagi mengertinya.
Tetapi entah mengapa, aku merasakan hatiku tersentuh saat mataku melihat tulisan-tulisan yang langsung tidak aku fahami. Seperti ada sesuatu yang mencucuk-cucuk hati ini. Aku menangis dalam mimpi tersebut. Aku letakkan Quran tersebut dan menuju ke ruangan hadapan masjid. Namun setiap kali aku melangkah, terasa seperti tiada mampu aku kehadapan. Seolah-olah langkahan ini langsung tidak membantu. Ruangan hadapan masjid tersebut makin lama makin jauh. Tiba-tiba aku tersedar. Terasa mataku basah. Dan cuping telingaku menangkap sesuatu. Suara azan.
Tidak mungkin kedengaran azan di bilikku. Rumahku banglo besar di puncak bukit dan tiada masjid berdekatan rumahku. Andai kata ada surau berdekatan, pasti sudah lama kedengaran azan berkumandang. Setakat ini belum pernah.
Aku cuba mencari punca datangnya azan tersebut namun gagal. Aku sendiri gagal memastikan dari arah manakah puncanya, kiri atau kanan. Tiba-tiba rasa takut menyelubungi diri. Aku tarik selimut menutupi seluruh badanku dan cuba untuk tidur kembali. Walaupun agak sukar, aku usahakan juga dan akhirnya aku berjaya.
Sejujurnya aku takut. Belum pernah aku bermimipikan perkara sedemikian. Aku belum meceritakan kepada sesiapa pun termasuk Danny dan Shaza, apatah lagi mama dan papa. Mungkin mereka mengatakan aku gila andai kata aku menceritakan perkara tersebut. Silap hari bulan, mereka cadangkan aku ke hospital sakit jiwa memandangkan aku mendengar perkara yang pelik-pelik. Hurm.
Oh ya! Aku teringat sesuatu. Semasa aku membelek-belek Quran di rak tersebut, aku ada terlihat satu perkataan yang tertulis di muka surat pertama. Hak milik Masjid al-Ihsan. Belum pernah aku dengar nama masjid tersebut. Pada perancangan aku, ingin aku ‘google’ nama Masjid al-Ihsan sebentar lagi. Wujudkah masjid tersebut? Hurm. Pada pandangan aku, mungkin tidak. Mimpi semata-mata. Namun tidak salah untuk mencuba kan?
Harus pergi sekarang. Telefon bordering, mungkin Shaza. Bye diari. Terima kasih kerana menjadi sahabat sejati. Love you!
Hurm :(
23 Januari 2006
p/s: Hai Diari. Saya sedikit terkejut.
Aku masih tidak dapat melupakan mimpiku dan juga suara azan tersebut. Aku terasa takut. Namun terasa ada sesuatu yang tidak mampu ku zahirkan pada kertas, seseolah hati ini kosong. Hurm bukan kosong juga. Sedikit sayu. Sedih. Gembira. Aku sendiri tidak tahu perkataan apakah yang paling sesuai untuk menggambarkan perasaanku saat ini. Oh! :(
Apa yang lebih mengejutkan aku, masjid al-Ihsan wujud! Aku baru sahaja layari enjin carian ‘Google’ sebentar tadi. Lokasinya di negeri Kelantan, di hujung bandar Kota Bharu. Lebih tepatnya, di daerah Peringat. Bagaikan bergetar seluruh badanku melihat alamatnya. Sungguh aku tak sangka! Kini, mimpi aku benar-benar menakutkan aku. Namun, aku terasa seperti ada mesej yang tersirat dalam mimpi tersebut. Mengenai apakah?
Well, aku merancang untuk berkunjung ke sana. Namun, dengan siapa ya? Mana mungkin aku ke sana seorang diri. Sekiranya perlu, haruslah aku beranikan diri. Aku masih membuat perkiraan dan perancangan.
Hurm. Baru aku teringat. Bukankah Shaza pernah memberitahu aku, dia ada merancang untuk ke Kelantan bersama keluarganya, melawat datuk dan neneknya minggu hadapan? Wah. Ini peluang. Mungkin aku boleh mengikuti mereka. Pasti Mama benarkan jika aku beritahu Mama yang aku ingin bercuti bersama mereka.
Mama perasan akan perubahanku. Semalam, sewaktu aku menonton televisyen, azan berkumandang menandakan waktu Asar. Buat pertama kali dalam hidupku, aku memerhatikan maksud azan yang terpampang di kaca televisyen. Ada yang aku hafal sedikit.
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar
Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah
Aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah
Mari bersolat
Mari menuju kejayaan
Allah Maha Besar
Tiada Tuhan selain Allah
Sejujurnya, aku tidak pernah menunaikan solat dengan cukup. Aku pernah belajar cara menunaikan solat sewaktu aku berumur 7 tahun rasanya di sekolah, namun sudah aku lupakan semuanya. Apatah lagi mengambil wudhuk. Yang aku ingat, cuma membasuh muka, kaki, tangan, kepala. Turutannya aku tidak pasti.
Sejujurnya juga, belum pernah aku lihat Mama dan Papa menunaikan solat di rumah. Semasa aku kecil dulu, pernah aku tanyakan Mama, “ Kenapa harus solat?,” Jika tidak silap aku, Mama balas soalanku dengan sekadar tersenyum. Aku pun tidak pasti senyuman apakah itu.
Sewaktu aku memerhatikan bait-bait maksud azan, terasa mataku sedikit berair. Aku tidak pasti adakah itu kesedihan. Namun aku terasa seperti kosong. Seperti ada sesuatu yang berharga yang aku kehilangannya. Mama perasan akan perkara tersebut. Mama tanyakan aku, aku bergaduh dengan Danny kah? Aku mengatakan tidak dan lantas aku beritahu Mama ada habuk yang menerjah retina mataku. Mama sekadar menggangguk.
28 Januari 2006
p/s: Hai diari. Saya sungguh letih!
Ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke negeri Kelantan. Pemandangannya sungguh berlainan jika dibandingkan dengan bandar Kuala Lumpur. Aku terasa sedikit kekok.
Perjalananku hanya mengambil masa 45 minit. Setibanya aku di lapangan kapal terbang Pengkalan Chepa, aku terasa sungguh asing. Saat itu, aku memakai t-shirt tanpa lengan dan jeans paras lutut. Aku memerhatikan yang lain di sekelilingku. Rata-rata memakai tudung. Ada yang melihatku dengan mata terjegil. Ada juga yang memerhatikan gerak geriku. Ada juga yang sekadar tersenyum.
Aku akan menetap di rumah datuk Shaza sepanjang aku berada di Kelantan. Jika tidak silap aku, lokasinya di Pasir Tumboh. Rumahnya agak besar cuma pemandangan dari tingkap tidak semeriah bandar Kuala Lumpur. Datuk dan neneknya sungguh baik sekali. Petang tadi, mereka berbual denganku sewaktu aku berada di laman, menyaksikan pohon-pohon bergoyang ditiup angin.
Mereka bertanyakan tentang pengajianku, masa depanku dan tentang Mama dan Papa juga. Shaza sungguh manja sekali dengan mereka. Gemar sekali dia memeluk neneknya. Hatiku agak sayu melihat kebahagiaan mereka. Aku tidak punyai datuk dan nenek, semuanya telah meninggal dunia. Hidupku cuma ada Papa, Mama dan rakan-rakan.
Aku bertanyakan datuk Shaza, bolehkah aku ingin keluar bersiar-siar esok? Dia izinkan, cuma dia minta sepupu Shaza, Nabilah menemankan aku. Aku bersetuju. Hurm. Bercerita mengenai Nabilah pula. Orangnya berkulit putih namun bertudung,berbaju kurung. Lemah lembut. Selalu tersenyum. Cantik. Dan juga wajahnya manis. Berseri-seri.
Dia melayanku dengan baik sekali. Dia bertanyakan aku akan destinasiku esok. Aku katakan aku ingin ke Peringat. Katanya, Peringat hanya terletak beberapa kilometer dari sini. Hanya mengambil masa 10 minit. Mungkin kurang juga. Oh!
Namun aku berdebar-debar. Untuk apa aku ke sana? Sekadar memuaskan hati yang tertanya-tanya?
Danny tidak menghalang aku mengikuti Shaza sekeluarga ke Kelantan untuk seminggu. Tambahan pula, dia sedikit sibuk dengan peperiksaan akhir semester. Hurm.
Aku ingin menelefon Mama, nanti Mama dan Papa runsing pula. Maklumlah anak tunggal :P
Bye Diari. Esok akan aku ceritakan pula perjalanan aku ke sana. Take care. Xoxo.
29 Januari 2006
p/s: Hai Diari. Saya sedang sibuk menelaah buku :)
Pagi tadi aku habiskan masa dengan sepupu-sepupu Shaza yang bertandang ke rumah. Banyak perkara yang kami bualkan. Pada awalnya, sukar juga untuk aku memulakan perbicaraan memandangkan aku bukanlah jenis yang mudah ramah namun mereka sangat baik dan ‘friendly’. Oh!
Namun, tidak dapat aku sembunyikan perasaanku yang tidak sabar untuk berkunjung ke Masjid Al Ihsan. Nabilah berjanji untuk membawaku ke sana setelah azan Zohor berkumandang. Aku masih ingat soalan Shaza tadi,” Babe, do you have any problems? You seem worried. If there is any, tell me dear. Perhaps I can help you,” Aku sekadar menggeleng dan tersenyum. Maaf Shaza. Masalahku ini bukanlah masalah yang mudah.
Sebaik sahaja azan Zohor berkumandang, aku terus ke bilik untuk menukar pakaian. Aku sarungkan baju kurung berwarna biru muda dan aku lilitkan selendang berwarna hitam menutupi sebahagian besar rambutku. Aku calitkan sedikit pelembab bibir bagi mengelakkan wajahku kelihatan pucat. Setelah bersiap, terus aku ke ruang tamu dan melihat Nabilah sudah menungguku.
Perjalanan ke Peringat dari Pasir Tumboh dengan menaiki Kelisa hanya mengambil masa lebih kurang sepuluh minit. Sebaik sahaja aku tiba di kawasan Peringat, barulah aku memberitahu Nabilah bahawa aku ingin ke masjid Al Ihsan. Nabilah bertanyakan tujuanku namun aku hanya memberitahunya yang aku sedang melakukan sedikit kajian.
Aku sarankan Nabilah agar dia menunggu di dalam kereta. Sebaik sahaja tiba di Masjid Al Ihsan, debaran menguasai hatiku. Kakiku sedikit ketar. Jari jemariku sejuk. Oh! Tolonglah.
Masjid itu kelihatan seperti sudah lama. Cat putih yang menyadur dindingnya sudah ada yang merekah. Kelihatan ramai yang berusia antara lingkungan 50an menuruni anak tangga, mungkin ingin pulang ke rumah masing masing.
Mataku tertarik melihat seorang ibu berusia 30an, memegang erat tangan anak perempuannya yang mungkin berusia 6 tahun. Di tangan kanan kanak-kanak perempuan tersebut, tergenggam erat buku yang tidaklah terlalu tebal. Al Quran barangkali. Aku pun tidak pasti.
Aku tanggalkan sepatuku di anak tangga. Terasa tapak kakiku begitu sejuk sekali saat kaki menapak di anak tangga tersebut.
Sebaik sahaja aku melihat suasana di dalam masjid tersebut, aku terasa seperti ingin menangis. Aku ketar. Aku terasa lemah. Segalanya tersusun sebagaimana yang aku mimpikan. Rak. Quran. Bahagian depan masjid. Semuanya sama. Oh! Apakah ini?
Hatiku seseolah memaksa kaki kananku memulakan langkah menuju ke rak yang terletak di tepi dinding. Sebaik sahaja aku tiba di rak tersebut, tiba-tiba bahu kananku ditepuk. Aku berpaling. Seorang wanita tua dalam lingkungan 60an tersenyum padaku.
“Assalamualaikum. Maye doh Zohor ?,” soalnya lembut. Aku lihat anak matanya kelihatan begitu jernih. Jelas, dialek yang dimilikinya begitu pekat sekali.
“Belum,” Jawabku spontan. Aku tertunduk. Malu, mungkin juga.
“Kalu gitu, gi la semaye dulu. Tok baik lambat,semaye” tambahnya lagi. Aku memandang tepat anak matanya.
“Saya tidak tahu bersolat,” jawabku jujur. Aku menunggu respons terkejut daripadanya namun dia hanya tersenyum.
“Kalu gitu, marilah bual dengan mok cik dulu. Mok cik boleh ajar pasal semaye tu,” balasnya lagi, tersenyum . Aku hanya mengikuti langkahnya dari belakang dan duduk bersimpuh bersamanya di bahagian belakang masjid, menyandarkan badan ke dinding.
“Saya tidak boleh lama makcik,” sambungku lagi. Perempuan tua tersebut menerima balasanku dengan senyuman.
“Tak po. Ni, mok cik ado buku pasal caro caro nok semaye. Benanyo, mok cik beli buku ni untuk cucu tino mok cik tapi gak napoknyo anok perlu buku ni lebih daripado cucu mok cik. Ambillah,” ujarnya sambil tangannya menyerahkan sebuah buku berwarna merah. Tangan kananku segera menyambut.
“Terima kasih mak cik. Saya harus pergi sekarang,” balasku. Terasa segan, menerima buku daripada seseorang yang langsung tidak aku kenali. Mak cik tadi tersenyum lagi.
“Yo lah. Kalu ado maso gak, mari la lagi sini deh,” pelawanya. Aku tersenyum. Lantas aku memohon diri dan bersalam dengannya.
Sewaktu aku menuju ke kereta, aku lihat Nabilah seperti sudah agak kebosanan menungguku. Aku mohon maaf padanya kerana mengambil masa yang lama namun dia hanya mengukirkan senyuman. Baru aku perasan, banyak sungguh senyum yang aku saksikan hari ini. Oh!
Setibanya di rumah, aku terus ke beranda rumah dan berehat di kerusi empuk. Jari jemariku segera membelek buku tersebut namun aku terasa seperti sia-sia sahaja memandangkan aku tidak tahu membaca bahasa arab. Aku tidak tahu ingin meminta pertolongan siapa. Tiba-tiba nenek Shaza menegurku dan bertanyakan akan buku tersebut.
Aku tiada pilihan melainkan memberitahunya perkara sebenar. Aku menangis. Aku tidak pasti akan perasaanku waktu itu. Semuanya bercampur baur. Aku tidak pasti.
Nenek Shaza menepuk-nepuk bahuku. Dia berjanji untuk mengajarku tentang cara bersolat dan asas fadhu Ain kepadaku sepanjang seminggu aku berada di situ. Aku terasa sedikit lega.
Sungguh banyak yang aku lalui hari ini. Banyak juga yang aku coretkan pada diari. Hurm. Aku masih belum membalas mesej Danny yang bertanyakan khabarku. Namun, mataku sudah merayu agar diberi rehat.
Aku tidur dulu ya Diari. Bye. Sayang kamu :)
5 Februari 2006
p/s: Hai Diari. Saya sungguh sedih. Ya Allah, tabahkanlah hatiku ini.
Genap sudah seminggu aku berada di rumah datuk dan nenek Shaza. Sudah tiba waktunya untuk aku kembali ke Kuala Lumpur.
Aku sudah pandai menunaikan solat. Aku sudah mula memakai tudung dan menutup auratku. Aku sangat bersyukur kepada Tuhan. Sebelum ini, aku terasa seperti Tuhan itu tidak wujud. Aku bertanyakan nenek Shaza, kalau malaikat, syaitan, syurga, neraka itu ada, kenapa aku tidak dapat melihatnya?
Jawab nenek Shaza ,”Sekiranya dahulu pada zaman 1900an, jika diceritakan tentang fungsi telefon bimbit, pasti mereka gelak. Susah nak percaya. Namun, ia wujud sekarang. Samalah juga dengan syurga, neraka dan semua tu. Jika diceritakan kepada orang kafir, mereka gelak. Namun, akan tiba saatnya mereka akan menyaksikannya dengan mata mereka sendiri,”
Tambahnya lagi,” Ainsya pernah bermonolog seorang diri?,”
“Pernah,” jawabku ringkas.
“Dapatkah Ainsya menyaksikan dengam mata, menyentuh dengan tangan, menghidu dengan hidung, merasa dengan lidah, mendengar dengan telinga tentang perkara yang Ainsya sebutkan dalam hati?,” tanyanya lagi.
“Tidak,” jawabku ringkas.
“Begitu jugalah dengan kuwujudan Allah. Mata tidak dapat melihat. Telinga tidak dapat mendengar. Hidung tidak dapat menghidu. Tangan tidak dapat menyentuh. Lidah tidak dapat merasa. Namun, kehadirannya dapat dirasai,” Balasnya. Aku hanya terkedu.
14 Januari 2006
p/s: Hai Diari. Oh. Perasaan saya bercampur aduk hari ini.
Sudah hampir seminggu aku menunaikan solat di rumah. Ya Allah. Belum pernah aku merasakan ketenangan yang sebegini. Terasa seperti tiada beban. Selamat. Bahagia. Aku pohon padaMu Ya Allah, biarkanlah perasaan ini berkekalan buat selama-lamanya. Aku bermohon juga, biarlah iman ku semakin hari makin bertambah Ya Allah.
Banyak perkara yang berlaku hari ini. Sewaktu aku solat Zohor pagi tadi, Mama ke bilik mencariku. Sewaktu itu, aku sedang asyik berdoa. Apabila pintu bilik terkuak, terus aku terpandang wajah Mama yang melihatku dengan wajah yang terkejut. Dahi Mama berkerut. Kemudian, Mama tutup pintu.
Selepas itu, aku ke ruang tamu. Aku lihat Mama menonton televisyen ditemani Papa. Mama dan Papa memandangku seperti ada sesuatu yang tidak kena. Aku duduk di sebelah Mama. Lantas aku ucapkan kata-kata ini “Mama, Ainsya belajar solat dengan datuk Shaza. Harap Mama dan Papa tidak sisihkan Ainsya kerana ini,” air mataku tiba-tiba mengalir membasahi pipi. Mama sekadar diam sambil mengusap kepalaku.
Sewaktu aku menunggu azan Maghrib berkumandang, tiba-tiba pintu bilikku diketuk. Terkejut aku melihat Mama memakai telekung. Mama mengajak aku bersolat berjemaah dengan Mama dan Papa di bilik Mama.
Alhamdulillah Ya Allah. Aku sangat bersyukur. Ini kali pertama aku mencium tangan Papa dan Mama selepas solat. Air mataku mengalir lagi. Aku memohon maaf dengan Mama dan Papa akan kesilapanku dari kecil hingga dewasa.
Ya Allah, sesungguhnya, aku sangat menyayangi mereka. Tempatkanlah mereka di syurgaMu ya Allah. Tiada mahu aku melihat mereka berdua terseksa Ya Allah. Kalau boleh, ingin aku jadi galang gantinya.
Hari ini juga, aku memutuskan hubunganku dengan Danny. Ya Allah, sesungguhnya aku melakukan semua ini keranaMu Ya Allah. Aku tidak mahu lagi melibatkan diri dalam zina Ya Allah walaupun kecil mana pun. Merindui itu juga merupakan zina hati. Aku tidak mahu.
Ya Allah, aku tahu, Engkau tahu betapa pedihnya hatiku untuk melakukan keputusan ini. Engkau pasti tahu betapa aku sudah menyayangi dirinya. Namun, harus aku menyayangi diriMu lebih daripada segalanya Ya Allah. Aku sanggup korbankan cintaku Ya Allah. Tabahkanlah hati ini untuk meneruskan saat saat yang seterusnya.
Danny meminta penjelasan mengapa aku putuskan hubungan ini.Aku jelaskan kepadanya bahawa aku ingin kembali ke pangkal jalan. Dia hanya terdiam.
Ya Allah, tabahkanlah hati ini. Amin.
Aku ingin melelapkan mata. Selamat Malam dunia. Selamat Malam bintang. Selamat Malam diari.
27 Jun 2009
p/s: Hai Diari. Saya bergembira hari ini :)
Sudah tiga tahun masa berlalu tanpa aku memberi khabar berita pada diari ini. Hari ini, aku mula menulis lagi.
Maafkan aku diari kerana sudah lama mengabaikanmu. Bukanlah niatku untuk mengabaikanmu. Namun, hubunganku dengan Mama dan Papa bertambah rapat sejak mereka mula mendalami Islam. Segalanya aku ceritakan pada mereka. Merekalah ibu bapaku, mereka jugalah sahabat sejatiku.
Namun, hari ini aku mahu mencoretkan juga kisah yang berlaku hari ini. Tiada sungguh aku sangka.
Tadi, aku ke masjid Shah Alam bersama Mama dan Papa untuk menunaikan solat Maghrib. Setelah solat, aku terus menuju ke kereta. Sebaik sahaja kami menghampiri kereta, tiba-tiba aku terdengar ada yang memberi salam. Alangkah terkejutnya diriku apabila melihat seseorang yang pernah bertakhta di hatiku memberikan senyuman. Danny!
Ya Allah. Dia kelihatan berlainan sekali. Wajahnya kelihatan lebih matang. Apa yang paling ketara, dia memakai songkok dan berbaju Melayu berwarna biru muda. Aku tidak tahu ingin mengukirkan senyuman ataupun tidak sewaktu berhadapan dengannya. Aku hanya terkedu.
Papa berbual dengannya sebentar. Papa menceritakan perkembangan terbaru diriku kepadanya. Aku pun tidak pasti apakah niat Papa melakukan sedemikian.
Danny hanya mengangguk-angguk kecil apabila Papa memberitahu yang aku masih belajar di University Of Nottingham mengambil jurusan ‘Business, Economics and Management’. Aku mendengar dia memberitahu Papa yang dia bekerja di syarikat guaman di Kuala Lumpur. Papa sempat bertukar nombor telefon dengan Danny. Sebelum berpisah, Danny sempat memandang ke arahku dan tersenyum namun aku tidak tahu bagaimana untuk membalasnya. Aku kaku.
Hatiku tidak pernah ditawan mana-mana lelaki setelah aku meninggalkan dia 3 tahun lepas. Ada yang meminta namun aku menolak. Entahlah. Mungkin disebabkan aku masih belum bersedia.
Sejak tarikh perpisahan kami, aku tidak pernah cuba menghubunginya. Selama tempoh tiga tahun itulah aku cuba melupakannya. Hati wanita, bukan mudah melupakan lelaki yang pernah menyinggahi hatinya. Belum sempat hatiku terubat, kini dia muncul pula.
Ya Allah, kuatkanlah hatiku ini. Entah mengapa aku rasakan seperti tidak kuat. Air mataku menitis. Ya Allah, aku mahu ketabahan. Kurniakanlah padaku. Amin.
15 Julai 2009
p/s: Hai Diari. Cuba teka apa yang berlaku hari ini? Saya bakal menjadi isteri!
Alhamdulillah Ya Allah. Aku tidak tahu bagaimana untuk menceritakan semua ini padamu diari.
Siapa sangka, pagi tadi, pintu rumahku diketuk. Waktu itu, aku berada di bilik, sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan pertengahan semester. Pada perkiraan aku, itu pasti rakan bisnes Papa.
Tiba-tiba, pintu bilikku diketuk oleh Mak Mah. Sebaik sahaja daun pintu dikuak, dia memberitahuku bahawa Mama dan Papa memanggilku untuk ke ruang tamu. Katanya, ada perkara penting.
Aku agak berdebar. Segera aku sarungkan tudung dan jubah. Apabila aku menuruni anak tangga, alangkah terkejutnya aku melihat Danny bersama ibu bapanya di ruang tamu, berbicara dengan Mama dan Papa.
Oh ya. Selepas pertemuanku dengan Danny di masjid Shah Alam bulan lepas, aku ada berhubung dengannya. Dia ada bertanyakan aku mengenai statusku, sama ada sudah berpunya atau belum. Aku memberitahu yang aku tidak dimiliki sesiapa lagi. Dia juga memberitahu diriku perkara yang sama mengenainya.
Berbalik kepada cerita tadi. Mama datang kepadaku, mengajak aku duduk di sebelah Papa. Sebaik sahaja aku duduk, aku memandang Danny. Dia tersenyum manis. Aku cuba membalas senyumannya tapi aku gagal kerana gugup.
Aku terbatuk apabila Mama menanyakan aku, sudikah aku menjadi isteri Danny. Tidak pernah terlintas langsung perkara sebegitu di mindaku saat itu. Aku terpaku sebentar. Aku pandang Danny.
Di matanya, aku dapat lihat keikhlasannya. Bercahaya. Penuh makna. Penuh kasih sayang. Aku mengangguk lantas tertunduk malu.
Kata ibu bapanya, mereka ingin mempercepatkan tarikh pernikahan seawal mungkin. Mungkin hari pertunangan merupakan hari yang sama dengan hari pernikahan. Jimat masa dan tenaga katanya.
Yang mana terbaik di hati Mama dan Papa, aku hanya mengikutnya. Aku serahkan segalanya pada Mama dan Papa.
Ya Allah, andai Danny merupakan jodoh aku, permudahkanlah jodoh kami Ya Allah. Sesungguhnya aku percaya akan setiap ketentuan yang telah Engkau tetapkan padaku. Amin.
Ainsya menutup diari merah tersebut. Terasa seperti ada jari yang menyentuh bahu kanannya. Lantas dia berpaling. Suaminya, Danny memberikan senyuman manis. Lantas jari jemari Ainsya menggengam erat tangan suaminya.
Tapak tangan kanannya mengusap perutnya lembut. Bayi kandungannya itu kini sudah berusia tiga bulan. Tiada dia sabar untuk melihat bayi pertamanya itu.
Hatinya bahagia kini. Mohonnya pada Ilahi, biarlah bahagia yang dikecapinya itu berkekalan ke hujung hayatnya. Azamnya, akan dididik anak-anaknya tentang ilmu agama, agar tidak tergelincir sebagaimana dirinya. Amin.