Kadar inflasi 3.3 peratus pada November 2021

 Kadar inflasi 3.3 peratus pada November 2021


PUTRAJAYA: Peningkatan kadar inflasi tidak dapat dielakkan dan selari dengan kenaikan harga bahan api dan makanan global, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi utama mencatat peningkatan 3.3 peratus kepada 124.0 pada November 2021 daripada 120.0 setahun lalu, menjadi kenaikan untuk tempoh sembilan bulan berturut-turut.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar inflasi lebih tinggi disebabkan peningkatan permintaan seiring dengan pembukaan semula ekonomi domestik dan global juga mendorong harga lebih tinggi."Inflasi dijangka terus meningkat kesan daripada harga global bahan api, makanan dan bahan berkaitan pembinaan seperti besi. Walau bagaimanapun, inflasi dijangka lebih stabil dengan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) untuk 12 item makanan yang berkuat kuasa pada 7 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021," katanya dalam laporan IHP November 2021 yang diterbitkan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kenaikan inflasi berlaku di seluruh dunia dengan Amerika Syarikat (AS) merekodkan kadar inflasi 6.8 peratus, tertinggi sejak Jun 1982 di dorong terutamanya oleh kenaikan dalam kos tenaga yang merekodkan peningkatan tertinggi iaitu 33.3 peratus."Zon Euro juga mencatatkan peningkatan inflasi yang ketara iaitu 4.9 peratus tahun ke tahun pada November 2021 dan ini menjadikan kadar inflasi tertinggi sejak Julai 1991. Antara yang mendorong kepada peningkatan ini adalah kos tenaga yang meningkat dengan mendadak (27.4 peratus).

"Di peringkat Asia Tenggara, Filipina mencatatkan peningkatan 4.2 peratus yang didorong oleh kenaikan dalam kumpulan makanan & minuman bukan alkohol (3.9 peratus), minuman alkohol & tembakau (7.5 peratus) dan kelengkapan perabot dan penyelenggaraan isi rumah (2.4 peratus)," katanya.Inflasi di Republik Korea pula meningkat kepada paras hampir tertinggi 10 tahun iaitu kenaikan 3.7 peratus yang disebabkan oleh peningkatan kos minyak yang menyebabkan peningkatan dalam kumpulan pengangkutan sebanyak 12.9 peratus.

Sementara itu, bagi tempoh bulan dikaji, peningkatan IHP pada November dipengaruhi oleh kenaikan pelbagai barangan terutamanya bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol, Pengangkutan dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain.Peningkatan paling ketara disebabkan oleh harga bahan mentah untuk dimasak yang tinggi. Ayam yang menjadi komponen terbesar bagi item daging serta sumber protein utama pilihan rakyat Malaysia, meningkat 16.7 peratus kesan daripada kenaikan harga makanan ternakan terutamanya daripada sumber import.Ikan yang turut menjadi sumber protein popular di kalangan isi rumah Malaysia terutama B40 juga mencatatkan kenaikan harga. Pada November 2021, harga purata Ikan Kembong meningkat kepada RM15.57 berbanding RM14.68 setahun lalu.

Susu, keju & telur dan Sayur-sayuran pula masing-masing meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 3.4 peratus. Di samping itu, harga bahan api masih kekal tinggi (27.6 peratus) dan kos elektrik meningkat 34.6 peratus selepas diskaun bayaran elektrik berakhir pada September lalu," katanya.Menurut DOSM, secara puratanya, inflasi di Malaysia adalah pada kadar 1.6 peratus bagi tempoh 2011 hingga 2021 di mana sepanjang tempoh berkenaan inflasi mengalami perubahan berbeza-beza dengan peningkatan tertinggi direkodkan pada April 2017 (4.9 peratus).


Bagi tahun 2021, kadar inflasi bulanan berada pada paras lebih tinggi daripada purata inflasi jangka panjang kesan daripada peningkatan harga pelbagai barangan sejak Mac (1.7 peratus) dan melonjak kepada 4.7 peratus pada bulan berikutnya.Mohd Uzir berkata, meskipun peningkatan ketara bagi pengangkutan, makanan dan elektrik, kepelbagaian perbelanjaan isi rumah di Malaysia dan variasi perubahan harga barangan tertentu (meningkat sederhana, kekal dan menurun), secara tidak langsung membantu meredakan kadar inflasi semasa."Bagi November 2021, antara barangan yang tidak menunjukkan perubahan adalah perkhidmatan komunikasi, yuran pendidikan dan bayaran tol."Sementara itu, antara barangan yang menunjukkan penurunan harga adalah pakaian dan kasut (-0.4 peratus) dan vitamin (-1.7 peratus)," katanya.

Beliau menjelaskan, IHP juga boleh dilihat daripada pelbagai dimensi antaranya mengikut kumpulan isi rumah, negeri dan juga inflasi teras bagi mengukur barangan yang lebih stabil dari segi harga dan tanpa kawalan kerajaan."Indeks bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.3 peratus pada November 2021 berbanding November 2020. Kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 2.9 peratus, 0.2 mata peratus lebih tinggi daripada kumpulan yang sama dalam inflasi utama."Peningkatan adalah daripada kumpulan Daging (9.2 peratus) diikuti oleh Minyak & lemak (6.4 peratus); Susu, keju & telur (4.4 peratus) dan Ikan & makanan laut (3.6 peratus).

"Ayam yang dibelanjakan oleh 86.8 peratus isi rumah B40 meningkat sebanyak 15.1 peratus pada November 2021. Kebanyakan isi rumah B40 (94.7 peratus) juga berbelanja kepada ikan segar dan indeks ini turut meningkat 4.2 peratus pada November 2021," katanya.Dari segi IHP mengikut negeri pula, semua negeri menunjukkan peningkatan dan sembilan negeri melepasi paras IHP nasional 3.3 peratus.


Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu (4.3 peratus), manakala Sarawak (2.7 peratus), Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (2.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.4 peratus) menjadi tiga negeri yang mempunyai peningkatan IHP yang paling rendah.Peningkatan inflasi di Terengganu disumbangkan terutamanya oleh Pengangkutan dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang masing-masing meningkat 17.4 peratus dan 3.0 peratus.Dari aspek penggunaan, kedua-dua kumpulan ini menyumbang sebanyak 51.0 peratus kepada perbelanjaan Terengganu.IHP di Sarawak dan Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing meningkat 2.7 peratus dan 2.4 peratus yang sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan marginal bagi bayaran elektrik kesan daripada lanjutan diskaun bil elektrik sehingga Disember 2021 serta kenaikan sederhana harga Makanan & Minuman Bukan Alkohol.

Sementara itu, IHP bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kebanyakannya dipengaruhi oleh harga makanan di luar rumah yang menjadi pilihan isi rumah.Harga makanan di luar rumah meningkat sederhana 1.6 peratus berbanding harga makanan di rumah (2.5 peratus).Sementara itu, inflasi teras pula mencatatkan peningkatan 0.9 peratus pada November 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.Peningkatan itu disumbangkan oleh kumpulan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah iaitu 2.6 peratus.


Sumber :  https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/12/902511/kadar-inflasi-33-peratus-pada-november