Puisi Lelangit Hati IV

Puisi Lelangit Hati IV
Karya: Aisha Ardini



Bagai disergah empunya cakerawala,
Aku terkaku tanpa bicara

Minda menyelusuri denai waktu,
Diputarkan segala satu persatu,
Memainkan kisah si pelakon utama,
Mendedahkan segala kurang dan khilafnya,
Membuatkan aku tertunduk cuma

Aku hanyut!
Bagai diseret hembusan bayu!
Bagai dibawa ombak lalu!
Segala apa yang diberikan kepadaku,
Ku ambil, ku terima, ku rampas semua,
Dan lain ku tolak, ku tindas dan ku hina,
Apa aku sedar bahawa ini semua dugaan cuma?
Apa aku tahu bahawa ini semua ujian semata?

Mengapa diri tiada mensyukuri,
Walhal segala dikurniakan Ilahi,
Walhal apa yang indah itu sekadar ilusi,
Jauh sekali menjadi milikmu yang hakiki!
Jauh sekali menjadi hakmu yang abadi!
Hadirnya sekadar memerangkap hati,
Munculnya cuma menjerat diri

Pulanglah sayang,
Pulanglah dirimu ke pangkuan Ilahi

Nukilan Hati,
Aisha Ardini
Www.AishaArdini.Com
10 Julai 2011
8.11pm