Wali Hakim - Wali Enggan Tanpa Alasan Syarak

Para Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.

Diriwayatkan dari Ma'qil bin Yasar, ia berkata: "Saya mempunyai saudara perempuan . Ia dipinang oleh seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda tersebut, kemudian diceraikan dengan talak yang boleh dirujuk. Perempuan itu ditinggalkan sampai habis eddahnya. Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya jawab:"Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau dengan dia selama-lamanya". Peristiwa ini disampaikan kepada Nabi saw. Berhubung dengan peristiwa ini, Allah swt menurunkan ayat Al-Quran

"Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis masa eddahnya, maka janganlah kamu menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya". (Al-Baqarah : 232)

Kemudian Ma'qil berkata: "Kemudian saya membayar kifarah sumpah dan perempuan itu saya kahwinkan dengan lelaki berkenaan". (Riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud)

Dalam sebuah hadith yang lain dinyatakan: "Ada tiga perkara yang tidak boleh ditanggungkan iaitu: solat bila telah datang waktunya, jenazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya". (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim)

Oleh yang demikian, perbuatan wali enggan menikahkan atau menghalang wanita nikah tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.

Menurut Jumhur Fuqaha (Syafi'e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakim lah yang menikahkannya. Rasulullah saw bersabda: "Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali". (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat bin Salleh (1976, Jld. II, I JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadhi Perlis, Yang Arif Kadhi Mahmood bin Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali hakim untuk dia berkahwin dengan Mansor bin Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan.

Fakta kes itu adalah seperti berikut: Seorang perempuan telah menuntut di Mahkamah Kadhi supaya ia dikahwinkan dengan Mansor bin Isa secara wali hakim kerana bapanya enggan mewalikannya dalam perkahwinan itu dengan mas kahwin sebanyak RM80.00 dan hantaran RM202.00 tunai.

Pihak bakal suami telah mencuba beberapa kali untuk meminang perempuan tetapi dihalang oleh bapa dengan alasan "Tunggulah dulu sehingga anak perempuannya mendapat pekerjaan". Bakal suami itu bekerja sebagai Pembantu Audit.

Kadhi ketika memutuskan kes itu menyatakan :Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang itu tidak mahu mewalikan nikah anaknya kerana enggan atau berselisihfaham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu oleh wali hakim dengan alasan:

Pertama: Daripada Aisyah r.a. Nabi saw bersabda: "Jika mereka berselisih , maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali". (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-Tirmizi) 

 
Kedua: Rasulullah saw bersabda: "Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar". (Riwayat At-Tirmizi)