23,800 Kematian Disebabkan Diabetes


MENURUT perangkaan daripada Persekutuan Diabetik Antarabangsa, pada 2010 seramai 285 juta penduduk dunia menghidap diabetes dan ia dijangka meningkat kepada 438 juta menjelang tahun 2030.

Daripada jumlah tersebut, di Malaysia sahaja seramai 1.8 juta telah dikenal pasti menghidap penyakit tersebut dan ia merupakan satu peningkatan yang tinggi berbanding 1.4 juta pada tahun 2006.

Pada tahun 2010 juga, sejumlah 23,800 kematian adalah disebabkan diabetes.

Menurut Pakar Endokrinologi Senior, Hospital Universiti Sains Malaysia, Professor Datuk Dr. Mafauzy Mohamed, melihat akan senario tersebut, pakar kesihatan bersetuju bahawa Malaysia akan terus mengalami peningkatan dalam jumlah pesakit diabetes di masa akan datang.

Katanya lagi, jumlah kes diabetes di Malaysia dianggarkan mencecah 2.5 juta menjelang tahun 2030.
''Diabetes terbahagi kepada dua iaitu jenis 1 dan 2. Kebanyakan pesakit di negara ini menghidap diabetes jenis 2 di mana pankreas mengeluarkan kuantiti insulin yang tidak mencukupi dan secara tidak langsung ia akan mengalami kesan berkurangan ke atas otot dan sel hati.

''Dalam hal ini, pesakit selalunya mempunyai tahap lipid darah dan kolesterol yang tinggi meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Ini adalah punca kebanyakan kematian pesakit yang menghidap diabetes jenis 2.

''Bagi diabetis jenis 1 pula, badan pesakit langsung tidak mengeluarkan insulin,'' katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah beliau, untuk itu setiap pesakit diabetes perlu dirawat dan tujuannya adalah untuk mengurangkan tahap glukosa darah ke tahap sasaran kerana penyakit ini menyebabkan tahap gula darah meningkat.

Dalam kes ini, lebih 60 peratus pesakit diabetes jenis 2 tidak mencapai kawalan glukosa darah yang baik dengan rawatan sedia ada.

Sumber: Utusan Malaysia 03/05/2011